Sebagai penolong setiausaha program, sini saya akan kongsikan idea cara menulis report / laporan kerja yang berkaitan dengan program kemasyarakatan.
Semoga bermanfaat!
1.0 PENGENALAN
Pada asasnya, Program Jalinan Masyarakat merupakan salah satu daripada kursus yang wajib kepada setiap pelajar yang menuntut di Universiti Malaya(UM). Secara dasarnya, program Jalinan Masyarakat ini mengandungi beberapa modul pembelajaran yang memberikan setiap pelajar peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang akan diselia oleh seorang penyelia.Selain daripada itu, Jalinan Masyarakat juga merupakan satu platform yang terbaik bagi setiap pelajar untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran insaniah, dan komunikasi. Bukan itu sahaja, pelajar juga mampu meningkatkan daya pemikiran secara kritikal apabila berhadapan dengan masalah dan berusaha untuk menyelesaikannya. Selain itu, pelajar juga akan berasa lebih bertanggungjawab ke atas komuniti sekeliling mereka sekaligus menjadikan menyemaikan sikap empati dan simpati dalam diri masing-masing.
Program Jalinan Masyarakat juga merupakan salah satu aktiviti yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kerjasama antara rakan-rakan terutamanya apabila program tersebut dijalankan dan sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk bersosial selain hanya menelaah pelajaran.
2.0 OBJEKTIF
2.1 Pembangunan bakat yang menyeluruh meliputi pengetahuan, kemahiran dan sikap.
2.2 Menunjukkan kepentingan jalinan masyarakat
2.3 Bekerja dalam pasukan dan bersama masyarakat
2.4 Menunjuk kemahiran komunikasi yang baik dengan masyarakat.
3.0 KOMUNITI SASARAN
3.1 Kanak-kanak berusia dalam lingkungan 5 sehingga 12 tahun.
3.2 Remaja berusia dalam lingkungan 13 sehingga 17 tahun.
4.0 BILANGAN PESERTA
4.1 Seramai 25 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Bioteknologi) telah menyertai projek Jalinan Masyarakat ini.
4.2 Bilangan peserta daripada komuniti yang terlibat adalah dalam lingkungan 20 orang.
5.0 TEMPOH PERLAKSANAAN
5.1 17 April 2016 – 7 jam
5.2 6 Mei 2016 – 5 jam
5.3 14 Mei 2016 – 6 jam
6.0 PELAKSANAAN
Program Jalinan Masyarakat ini telah berjaya diadakan pada 17 April, 6 Mei dan 14 Mei yang lepas dengan majoriti ahli yang terlibat terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains(Bioteknologi).
Setelah mendapat persetujuan majoriti ahli, program ini diadakan di tiga lokasi yang berbeza dan pada tarikh yang berbeza. Pada 17 April 2016, Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong dipilih sebagai tempat untuk melaksanakan program ini manakala pada 6 Mei 2016, Rumah Hope, Petaling Jaya menjadi lokasi yang kedua dan yang terakhir adalah pada 14 Mei 2016 di Pertubuhan anak yatim dan kebajikan Darul Izzah
Salah satu maklamat yang ingin dicapai melalui program ini adalah untuk melengkapkan bakal mahasiswa dan mahasiswa dengan pelbagai kemahiran yang bakal berguna selepas bergelar graduan dan memasuki alam pekerjaan. Objektif ini berjaya dicapai apabila kesemua ahli pasukan bekerjasama menjayakan program Jalinan Masyarakat yang diadakan di ketiga-tiga lokasi yang disebut di atas. Para ahli pasukan juga banyak berinteraksi bersama penghuni-penghuni rumah amal dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tempoh yang ditetapkan.
Di Rumah Amal Limpahan Kasih dan Pertubuhan Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah, terdapat kira-kira 30 peserta dalam lingkungan umur 6 sehingga 14 tahun menyertai program ini sekaligus menjayakannya. Setiap ahli kumpulan dibahagikan tugas secara rata sepanjang program berlangsung terutamanya dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Terdapat beberapa aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini di Rumah Amal Limpahan Kasih. Salah satu daripada aktiviti tersebut adalah Radio Karat. Objektif aktiviti ini adalah untuk memupuk kepekaan dan kesefahaman terhadap maklumat yang dterima serta memastikan penyampaian maklumat yang betul. Kaedah perlaksanaanya adalah dengan menyuruh peserta-peserta untuk berbaris dalam satu barisan dan seterusnya fasilator akan memberikan satu ayat kepada peserta yang paling depan, dan peserta tersebut hendaklah bisikkan ayat tersebut kepada peserta yang dibelakang dan berterusan sehingga kepada yang paling belakang. Peserta yang paling belakang hendaklah menulis kembali ayat yang telah disampaikan oleh peserta yang berada di hadapannya.
Walaupun aktiviti ini tampak mudah, namun ia dapat memberikan satu penekanan yang positif kepada setiap peserta. Para peserta diterapkan dengan kemahiran untuk mengatasi pelbagai halangan dalam komunikasi terhadap persekitaran yang diterima dengan menanganinya berhemah. Selain itu, aktiviti ini secara tidak langsung meningkatkan ketelitian dalam penerimaan dan penyampaian maklumat.
Bukan itu sahaja, aktiviti lain seperti Semut Gila juga telah diadakan. Objektif aktiviti ini adalah untuk membina keyakinan diri untuk komunikasi dengan orang lain dan peka serta fokus dalam melaksanakan aktiviti.
Selain daripada itu, aktiviti yang dipanggil Terbang Jauh juga telah dilaksanakan. Aktiviti ini bertujuan untuk menerangkan pelbagai cara untuk peserta untuk mencapai cita-cita atau matlamat masing-masing. Ini juga adalah untuk menggalakkan pemikiran kreatif peserta-peserta dalam menghasilkan sesuatu model.
Seterusnya, bagi meningkatkan minat peserta terhadap pelajaran Sains, aktiviti yang dipanggil Fun Science turut diadakan. Dalam aktiviti ini, peserta dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai ciri-ciri air.
Selain aktiviti-aktiviti yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa aktiviti yang lain juga telah dilaksanakan. Gotong-royong membersihkan kawasan sekeliling rumah amal merupakan satu daripada aktiviti tersebut. Sampah-sarap dan daun kering dikumpulkan dan dibuang bagi mencantikkan sekeliling rumah tersebut serta supaya tampak lebih kemas dan bersih.
Pada 6 Mei 2016, program Jalinan masyarakat telah dijalankan di Rumah Hope, Petaling Jaya. Banyak aktiviti yang telah dijalankan pada masa tersebut. Setibanya di rumah kebajikan tersebut, kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk melaksanakan tugas yang diberikan. Setiap ahli kumpulan dikehendaki untuk melakukan pembersihan dan pengemasan tempat-tempat seperti pejabat, perpustakaan, dapur, ruang makan, bilik dan penginapan. Setelah habis dengan kerja pembersihan dan pengemasan, ahli-ahli kumpulan meluangkan masa bersama-sama dengan kanak-kanak melalui aktiviti riadah seperti futsal dan sebagainya.
7.0 MASALAH
7.1 Mendapatkan kerjasama daripada pihak luar
Kerjasama daripada pihak luar merupakan salah satu daripada masalah yang dihadapi sebelum menjalankan program ini. Terdapat beberapa pusat kebajikan dan rumah amal yang telah dihubungi oleh biro-biro tertentu, namun tidak ada maklum balas yang terima. Selain itu, tarikh program yang telah ditetapkan juga bercanggah dengan masa pihak pusat kebajikan dan rumah amal tersebut. Masalah ini diatasi dengan menggunakan komunikasi yang lebih efisien seperti mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan pusat kebajikan/amal selain menghubungi melalui telefon dan menghantar emel.
7.2 Tarikh aktiviti yang bertindih dengan jadual harian
Masalah yang dihadapi seterusnya ialah tarikh program yang bertindih dengan jadual harian pusat kebajikan/amal. Sebagai contoh, pada hujung minggu merupakan waktu yang sesuai untuk melaksanakan program namun, pihak pusat atau rumah kebajikan kebanyakannya sudah mempunyai aktiviti yang tersendiri. Masalah ini dapat diatasi melalui toleransi dengan pihak berkenaan untuk pindah tarikh yang bersesuaian.
8.0 PENCAPAIAN AKTIVITI
Secara keseluruhan, program Jalinan Masyarakat ini telah berjalan dengan lancar dengan kerjasama dan usaha setiap ahli pasukan dari segi penyediaan sehingga ke fasa perlaksanaan
.
Tidak kurang juga sokongan daripada Penyelia bagi program Bioteknologi iaitu Prof. Dr Ling Tau Chuan yang telah banyak membantu dalam melaksanakan program ini dengan jayanya. Amnya, program Jalinan Masyarakat ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan kemahiran bakal graduan selepas tamat pengajian serta melahirkan lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi yang lebih peka kepada keperluan komuniti.
Bukan itu sahaja, melalui program Jalinan Masyarakat ini, pelajar dapat mengasah bakat dalam bidang kepimpinan melalui pembahagian tugas sebagai pengarah program sehingga kepada biro-biro kecil. Ini juga sedikit sebanyak meningkatkan motivasi diri dalam kalangan ahli pasukan untuk lebih bersyukur di atas nikmat yang diberi-Nya kerana lebih ramai lagi yang kurang bernasib baik.
Melalui setiap aktiviti yang telah dilaksanakan juga telah meninggalkan banyak impak yang positif di dalam diri para peserta program dan sedikit sebanyak memotivasikan mereka untuk lebih berjaya di masa hadapan walaupun dengan segala cabaran yang dihadapi. Ini merupakan salah satu matlamat program Jalinan Masyarakat yang dilaksanakan iaitu meninggalkan kesan dan impak yang positif dalam komuniti.
9.0 GAMBAR AKTIVITI
9.1 Rumah Amal Limpahan Kasih
Pada penghujung program ini, semua ahli mengambil gambar bersama-sama sebelum bertolak balik ke Universiti Malaya(UM)
Penghargaan diberikan kepada pihak Rumah Amal Limpahan Kasih kerana sudi menyediakan tempat bagi melaksanakan program.
Pelbagai aktiviti diadakan bersama-sama kanak-kanak di Rumah Amal Limpahan Kasih.
Pembersihan bahagian belakang rumah amal seperti membuang sampah dan mengutip daun-daun kerng serta perabot-perabot yang tidak digunakan lagi.
9.2 Rumah Hope, Petaling Jaya
Salah satu ahli pasukan sedang mengemas asrama penghuni perempuan Rumah Hope.
Daun-daun kering di hadapan Rumah Hope juga disapu supaya kelihatan lebih bersih
Pejabat Rumah Hope yang sedang dikemas.
Setelah tamat, ahli-ahli bergambar dihadapan Rumah Hope sebagai kenangan.
9.3 Pertubuhan Anak Yatim Dan Kebajikan Darul Izzah
Adik-adik dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti-aktiviti yang seterusnya
Sesi perkongsian bersama-sama dengan penghuni rumah amal tersebut.
Sebelum bertolak balik, kami mengambil kesempatan untuk bergambar dengan penghuni-penghuni Rumah Pertubuhan Yatim dan Kebajikan Darul Izzah.
10.0 KEWANGAN / PERBELANJAAN
Perbelanjaan | Bilangan | Harga Per Unit ( RM ) | Jumlah ( RM ) |
Pengangkutan | |||
Taxi | 37.50 | ||
Alat Tulis | |||
2B Pencil | 5 | 2.70 | 13.5 |
Barang-barang untuk aktiviti | |||
Lada Hitam | 1 | 6.45 | 6.45 |
Biskut | 1 | 5.95 | 5.95 |
Jelly Nut | 1 | 7.95 | 7.95 |
Gula-gula | 1 | 16.90 | 16.90 |
Bihun | 10 | 1.65 | 16.50 |
Gula Kasar | 6 | 5.68 | 34.08 |
Beras | 2 | 25.90 | 51.80 |
Telur | 2 | 10.20 | 20.40 |
Milo | 2 | 36.90 | 73.80 |
Minyak Masak | 1 | 9.00 | 9.00 |
Beg Plastik | 2 | 5.30 | 10.60 |
Apollo Wafer Susu | 9 | 1.90 | 17.10 |
Jelly | 7 | 1.20 | 8.40 |
Jack & Jill Cloud 9 | 4 | 1.20 | 4.80 |
Bingkai foto | 1 | 8.45 | 8.45 |
Reben | 1 | 2.01 | 2.01 |
Jumlah | 345.19 |
11.0 PENUTUP
Secara keseluruhannya, program Jalinan Masyarakat pada kali ini berjalan dengan lancar dengan kerjasama penuh yang diberikan oleh ahli pasukan. Program Jalinan Masyarakat ini telah mencapai objektifnya tersendiri iaitu ahli pasukan dapat menunjukkan kepentingan jalinan masyarakat, bekerja dalam pasukan dan bersama masyarakat, dan menunjuk kemahiran komunikasi yang baik dengan masyarakat.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada penyelia projek Jalinan Masyarakat ini, Professor Dr. Ling Tau Chuan di atas kesudian beliau dalam membantu menyelia dan mengawasi perjalanan projek ini serta memberi tunjuk ajar dalam pelbagai aspek.
Ucapan terima kasih juga ingin ditujukan kepada semua Majlis Tertinggi Jalinan Masyarakat bagi program Bioteknologi sehingga kepada biro-biro di atas usaha keras dan kerjasama sepanjang projek ini berlangsung.
Ribuan penghargaan juga ingin ditujukan kepada pihak pengurusan Rumah Amal Limpahan Kasih, Rumah Hope, Pertubuhan Anak Yatim Dan Kebajikan Darul Izzah di atas kesudian memberikan masa bagi program ini diadakan.
Akhir sekali, kepada semua peserta yang telah menyertai sekaligus menjayakan projek ini, kami memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kesudian mereka untuk meluangkan masa bersama-sama kami.
Post a Comment