Dalam hidup ini kita mempunyai banyak pilihan yang sering membuatkan kita tertanya-tanya. Pilihan yang manakah yang bakal kita pilih? Adakah pilihan tersebut dipengaruhi oleh orang lain, keluarga atau memang keputusan diri sendiri? Apakah kesannya kepada diri kita sendiri dan orang lain atau keluarga sendiri jika memilih untuk membuat keputusan tersebut?
Sudah menjadi satu pertanyaan yang biasa kepada mahasiswa dan mahasiswi, iaitu haluan seterusnya apabila sudah bergelar graduan kelak. Adakah mereka patut meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau terus bekerja untuk mencari pengalaman. Namun, hal ini terletak dalam tangan masing-masing.
Bagi sesetengah siswa dan siswi, mereka memilih untuk bekerja sejurus menamatkan pengajian mereka di peringkat IPT dalam pengajian Diploma ataupun Ijazah Sarjana Muda(Bachelor). Faktor-faktor seperti keluarga susah, beban PTPTN, mencari pengalaman dan banyak lagi menjadi alasan mengapa mereka memilih untuk bekerja sejurus menamatkan pengajian. Tidak dinafikan bahawa faktor-faktor demikian sememangnya menjadi alasan kepada ramai graduan baru di Malaysia. Oleh sebab yang demikian, kita dapat melihat ramai graduan baru yang bekerja dalam pelbagai sektor tidak kira kerajaan mahupun swasta. Ada sesetengah daripada golongan ini juga akan meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang tinggi setelah kewangan mereka stabil. Tidak kurang juga ada yang sudah bekeluarga dahulu sebelum melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Terdapat juga sesetengah graduan yang memilih untuk meneruskan pelajaran mereka sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana(Master) ataupun Doktor Falsafah (Phd). Bagi golongan graduan sedemikian, sudah tentu mereka mementingkan ilmu pengetahuan daripada pengalaman bekerja. Ada di sesetengah mereka juga yang masih ingin merasakan kebebasan sepanjang bergelar seorang pelajar oleh sebab itu mereka memilih untuk meneruskan pengajian sejurus menamatkan Ijazah Sarjana Muda. Bagi pemegang Diploma pula, mereka boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Ijazah Sarjana Muda. Namun keputusan sedemikian bergantung kepada diri masing-masing. Tidak kurang juga bagi sesetengah graduan yang bekerja sambil belajar. Walaupun demikian ianya terletak kepada kebolehan diri dalam multitasking.
Walau apapun pilihan masing-masing, pastikan ia adalah yang terbaik buat diri sendiri. No one is going to make the decision for you!
Post a Comment